KUALA LUMPUR, 22 Julai:
Keadaan jerebu kembali melanda negara ini dengan 11 kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat jam 11 pagi tadi.
Kawasan paling teruk dilanda jerebu ialah Sri Manjung, Perak dengan bacaan IPU 229, diikuti Kuala Selangor (154) dan Pelabuhan Klang (131).
Sementara itu, IPU di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Tanjung Malim, Perak merekodkan bacaan sama, iaitu di paras (115).
Ini diikuti Taiping, Perak (114), Sungai Petani di Kedah (112), Ipoh (110), Perai (103), USM (102) dan Alor Setar (101).
Sementara itu, Berita Harian melaporkan, semua sekolah di daerah Manjung diarahkan tutup bermula sesi petang hari ini, berikutan masalah jerebu yang mencatatkan bacaan 239, setakat jam 12 tengah hari, sekaligus menjadikannya tertinggi di seluruh negara.
Seorang pengetua sebuah sekolah di daerah itu ketika dihubungi berkata, pihaknya diarahkan Jabatan Pendidikan Negeri supaya tidak meneruskan sesi persekolahan hari ini dan memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid serta pelajar.