KUALA LUMPUR - Gimnastik yang dahulunya acap kali membanggakan negara menerusi pencapaian hebat atletnya kini menjadi antara sukan yang berdepan cabaran mencari generasi pelapis.
Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, walaupun terdapat beberapa pusat gimnastik disediakan setiap negeri, untuk mendapatkan gimnas yang benar-benar berbakat adalah sukar terutama dalam acara gimnastik artistik lelaki dan wanita.
"Bagi acara gimnastik berirama pihak kami tidak mempunyai masalah untuk mencari pelapis, berbeza dengan acara gimnastik artistik yang mempunyai kesukaran untuk dapatkan pelapis.
"Lihat saja di peringkat negeri, tidak ramai ibu bapa yang membenarkan anak mereka terlibat dalam sukan ini dari peringkat awal, jadi ini antara kesukaran buat kami," katanya kepada Utusan Malaysia di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Keinginan untuk melihat ramai pelapis dan mencipta ramai jaguh baharu dalam sukan gimnastik semakin mendesak, apatah lagi dengan saingan hebat dari atlet luar.
Tambah Jefri, program-program khas terus dijalankan setiap tahun untuk mengenal pasti atlet yang berbakat untuk dilatih.
"Setiap tahun, ada saja kem khas dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang berpotensi dalam sukan ini.
"Melalui program seumpama ini dapat memberi pendedahan awal buat mereka sebelum mereka diserap masuk ke program elit," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan