27 Oktober 2009

TAKDIR

MALANG TAK BERBAU

          Enam tahun yang lalu berlaku satu peristiwa yang tak boleh ku lupakan.  Kejadian itu adalah berkenaan ayahandaku yang sangat disayangi.  Dia mengidap kencing manis selama beberapa tahun tanpa pengetahuanku kerana dia merahsiakannya daripada semua ahli keluarga.  Sebenarnya aku pernah bertanya, ubat apakah yang dimakannya setiap hari.  Dia cuma menjawab,"itu adalah ubat sakit lutut".  Aku taklah pula menyangka sebaliknya.

          Sebelum itu, aku sekeluarga dan ayahanda ditimpa kemalangan jalanraya sehingga menyebabkan ayahandaku patah bahu kirinya.  Pada hari tersebut aku mengambilnya dari kampung kerana mengubati penyakitnya yang sebelum itu demam yang agak lama.  Sewaktu pulang itulah kejadian buruk berlaku.  Kereta yang dipandu oleh suamiku telah dihimpit oleh sebuah lori minyak yang tidak berperikemanusiaan dari sebelah kanan.  Memandangkan kereta wira yang semakin hampir dari arah bertentangan tiba itulah maka lori yang tak lepas memotong kereta kami itu cuba mengelak lalu menghimpit kami.  Suamiku tidak boleh berbuat apa-apa kerana 2 tayar telah terangkat menyebabkan kereta kami berpusing-pusing ke sebelah kanan jalan.  Dengan sekelip mata aku terdengar dentuman yang kuat di pintu depan sebelah kiri ayahandaku.  Aku dengar ayahanda melaungkan nama Allah.  Aku sempat menarik dan memeluk erat kedua-dua anakku yang sedang tidur sambil berdoa agar tidak berlaku kecederaan dan sebagainya.  Aku sungguh cemas memandangkan di kiri dan kanan jalan tersebut ada parit kecil yang dipenuhi air dan tidak jauh dari situ ada jiwa yang maut serta masih baru lagi kerana tali AWAS merintangi kawasan kejadian.

          Aku bersyukur kerana kereta tidak menjunam masuk ke dalam parit.  Aku juga berterima kasih kepada kereta wira yang melanggar kami itu, jikalau tidak sudah tentu kami semua menemui ajal tenggelam di dalam air.  Kereta wira itulah juga menyebabkan kereta kami berpusing dan berhenti di tempat yang selamat.  Keretaku remuk teruk.

          Dalam kemalangan itu juga melibatkan kenderaan lain.  Sebuah penunggang motorsikal bangsa india telah tercampak ke atas rumput tebal berhampiran parit tersebut.  Dia pengsan menurut orang ramai yang melihat. 

          Lori yang melanggar kami itu sungguh tak berhati perut kerana cuba melarikan diri.  Alhamdulillah kerana ada 2 insan yang datang membantu mengejar beliau dan dapat mengesannya serta menyuruhnya membuat report.

          Seperkara yang amatku kesali ialah berjam-jam kami menanti van ambulan tapi tak kunjung tiba dan akhirnya kami dihantar oleh seorang bangsa cina (penunda kereta kami) ke hospital sehinggalah selesai pemeriksaan dan dihantar pulang.

          Aku cuba mencari 2 orang lelaki melayu yang membantu kami dahulu untuk memberi sedikit sumbangan ikhlas tapi malangnya tidak tercapai kerana no.telefon yang aku call orang lain yang jawab.  Semoga Allah membalas jasa mereka itu.

          Akibat daripada peristiwa itulah juga maka penyakit ayahandaku semakin melarat sehingga lebih sebulan dimasukkan ke hospital.  Kemasukkannya setelah jatuh dan koma di rumah.  Melihat keadaan itu aku benar-benar cemas dan hilang kawalan emosi.  Aku tak sedar menangis dengan raungan yang kuat sehingga pipiku ditampar oleh suamiku barulah aku tersedar.  Kemudian aku mengambil wuduk lalu membaca yassin.

          Selepas itu ayahandaku asyik keluar masuk ke hospital.  Tetapi berkat tidak putus asa serta doa berpanjangan kepadaNya, kini ayahanda kembali sihat tetapi setiap hari perlu makan ubat.  Alhamdulillah.

          Kini, ayahandaku sering teringatkan anak sulungnya yang berada jauh di utara kerana jarang bertemu.  Mungkin abang sibuk melayan student-studentnya di matrikulasi lantas tidak dapat pulang selalu menziarahinya.  Jadi aku mohon abang luangkanlah masa pulang ke kampung menjenguk ayahbonda yang masih bersisa usia mereka itu walau seketika cuma......  Maafkan adikmu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan