03 April 2014

AJAIB

CEMERLANG DENGAN MENGUASAI DUA AYAT
February 15th, 2014 | Posted by admin in Al-Quran dan Sains
Dr Danial
Ilmu merupakan pintu gerbang kepada segala kebaikan. Dalam konteks ini al-Quran menekankan tentang kepentingan menguasai dua ayat. Penguasaan dua ayat bermaksud menguasai, pertamanya, ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta.
Ayat dalam bahasa Arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Quran, dan kedua, ia bermaksud “sign” atau tanda dan bukti.
Penguasaan ayat-ayat al-Quran adalah penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Melalui al-Quran manusia mengenali tujuan hidup dan cara hidup. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 89, “Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim.”
Menguasai Ayat-ayat Al-Quran
Menguasai al-Quran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia mampu membaca al-Quran dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45, “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al-Kitab (al-Quran)..” Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya.”
Kemampuan membaca al-Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk memahaminya secara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisak ayat 82 yang bermaksud, “Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.”
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.
Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan penghayatan yang mantap. Hal ini Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud, “Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Berhubung dengan kalimat ‘membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya’ yang terdapat dalam ayat ini, sahabat Abdullah ibn Masud berkata, “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh as-Syeikh Said Hawa.
Hanya selepas al-Quran difahami dan dihayati sahaja iman umat Islam akan meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran ialah petunjuk yang akan membawa manusia kepada sesuatu yang aqwam. Apakah maksud aqwam? Dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi berkata, “Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat”. Justeru mereka yang membaca, memahami, menghayati serta menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan kecemerlangan sedang menanti mereka kerana kehidupan mereka disuluhi oleh formula yang “paling benar, paling adil dan paling tepat.”
Menguasai Ayat-ayat Alam
Seperti yang disebutkan sebelum ini, salah satu maksud bagi kalimat ayat dalam bahasa Arab ialah tanda atau bukti. Justeru, selepas penguasaan ayat al-Quran, ayat kedua yang perlu dikuasai ialah ayat-ayat yang tersembunyi di alam semesta. Ayat-ayat ini merupakan tanda serta bukti tentang kekuasaan Allah yang tersembunyi di alam semesta. Untuk mencapai tujuan ini umat Islam perlu mengkaji alam ini secara sistematik. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang terdapat dalam surah al-Ghasyiah ayat 17-20 yang bermaksud, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ianya diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.”
Pengkajian tentang rahsia-rahsia alam memerlukan akal yang tajam lagi kritis. Berhubung dengan ini dalam surah al-Mukminun ayat 80 Allah berfirman, “Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?”
Ilmu yang diperoleh daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah sekali gus meningkatkan pengabdian kepadanya. Berhubung dengan ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir… di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperoleh bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana.”

Ulul Albab
Justeru, golongan pengkaji dimuliakan Allah dan Dia menggelar mereka sebagai ulul albab. Dalam surah Ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.”
Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir. Dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam. Pada hari ini para saintis yang bertakwa kepada Allah boleh dikategorikan sebagai golongan ulul albab.
Hasil Nukilan
Dr. Danial Zainal Abidin



Tiada ulasan:

Catat Ulasan