Oleh Penulis Mayo Clinic (Terjemahan Info Kesihatan)
Pertubuhan Jantung Amerika mengenal pasti bahawa gaya hidup tidak aktif merupakan salah satu daripada lima faktor risiko utama penyebab penyakit jantung. Sebaliknya, mengambil langkah untuk meningkatkan aktiviti fizikal dikaitkan dengan:
Peningkatan peredaran darah - Peningkatan aktiviti fizikal mewujudkan permintaan untuk lebih banyak oksigen dan nutrien dalam tisu badan. Keperluan ini boleh membantu meningkatkan kesihatan arteri dan juga menggalakkan pertumbuhan kapilari baru, dikenali sebagai kapilari kolateral, di dalam otot yang terlibat dengan senaman. Kapilari kolateral meningkatkan peredaran darah secara keseluruhan, yang membantu meningkatkan kekuatan, tenaga, penyembuhan dan fungsi lain yang pada dasarnya di semua sistem badan anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai penyakit arteri periferal, kapilari kolateral dalam otot kaki anda boleh mengurangkan gejala justeru anda boleh berjalan lebih jauh tanpa rasa sakit. Otot kaki yang telah menjadi segar akibat senaman menggalakkan peredaran darah kembali ke jantung dengan mengekalkan peningkatan kuasa pada urat.
Peningkatan fungsi jantung - Tidak seperti otot lain, jantung sentiasa bekerja. Walau bagaimanapun, senaman membantu meningkatkan kecekapan jantung. Aktiviti fizikal yang kerap melambatkan kadar denyutan jantung dan meningkatkan jumlah darah yang dipam dengan setiap denyutan. Ia juga membantu paru-paru anda menyampaikan oksigen dengan lebih cekap untuk darah anda. Dengan jantung yang dapat mengepam lebih banyak darah, lebih banyak oksigen dihantar ke otot anda dan seluruh badan anda semasa bersenam. Semua perubahan ini memudahkan jantung anda untuk menjalankan tugasnya.
Pengurangan tekanan darah - Aktiviti fizikal yang kerap dikaitkan dengan kawalan jangka panjang tekanan darah yang lebih baik. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai tekanan darah tinggi, kesan senaman pada tekanan darah anda boleh menjadi lebih dramatik.
Penambahbaikan tahap lemak darah (lipid) - Jika anda bimbang tentang tahap kolesterol anda atau peningkatan trigliserida, maka senaman adalah jawapannya. Senaman menyebabkan pengurangan trigliserida, yang merupakan zarah lemak kecil di dalam darah. Ia juga boleh meningkatkan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), atau kolesterol “baik”, dan boleh mengurangkan jumlah lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), atau kolesterol “jahat”.
Peningkatan kesihatan saluran darah - Pengurangan tahap lemak darah mengurangkan pembentukan plak di dalam saluran darah (aterosklerosis) dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Tekanan darah yang berkurangan bermakna tekanan kurang pada lapisan dalam saluran darah – satu lapisan nipis sel dipanggil endothelium – dan mengurangkan haus dan lusuh yang sebaliknya boleh menggalakkan pembentukan plak. Endothelium merembeskan bahan kimia yang menyebabkan saluran darah dapat berehat atau menguncup. Bersenam diketahui dapat meningkatkan fungsi endothelial.
Satu lagi faktor dalam kesihatan saluran darah adalah radang, yang boleh diukur dengan tahap sensitiviti protein C-reaktif tinggi (hs-CRP) dalam darah. Terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa keradangan memainkan peranan yang penting dalam aterosklerosis dan hs-CRP adalah tanda keradangan. Aktiviti fizikal boleh mengurangkan hs-CRP.
Peningkatan penggunaan oksigen (pengambilan oksigen maksimum) - Aktiviti fizikal yang kerap membantu sel anda mendapat oksigen dengan lebih mudah daripada darah anda, mengurangkan bebanan pada jantung dan meningkatkan keupayaan anda untuk bersenam.
Memperbaiki pengawalan paras gula darah dan insulin - Iannya mengurangkan risiko diabetes jenis 2, yang berkait rapat dengan masalah yang berkaitan dengan penyakit jantung.
Selain itu, senaman juga menawarkan potensi manafaat lain, seperti kecenderungan untuk mengurangkan pembekuan darah, memperbaiki fungsi sistem imun dan mengurangkan risiko kemurungan.
Manafaat Sebenar
Beberapa perubahan kecil pada gaya hidup seperti aktiviti fizikal yang kerap boleh memberi kesan ketara pada kesihatan. Sesungguhnya hanya dengan melakukan aktiviti fizikal selama tujuh jam seminggu boleh mengurangkan risiko mati awal sebanyak 40 peratus berbanding dengan seseorang yang tahap aktiviti fizikal mingguannya kurang daripada 30 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan