Ahmad Faiz Juara Pidato Diraja Peringkat Kebangsaan 2013
Juara, adik Ahmad Faiz Yazid, Pelajar Tahap 6 PERMATA Insan bersama dengan Piala Pusingan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah
KUALA LUMPUR: Tahniah buat Adik Ahmad Faiz Yazid, Pemidato kategori sekolah rendah yang telah dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan pada tahun ini. Buat julung kalinya juga, Pidato Piala Diraja pada kali ini diadakan di perkarangan Istana Negara.
Lebih menarik, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menyaksikan peringkat akhir pidato kali ke-29 itu semalam.
Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Zainuddin Abas berkata Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk majlis itu diadakan di Istana Negara, yang memperlihatkan institusi diraja sentiasa dekat dengan rakyat.
“Memang setiap kali kami akan adakan Pertandingan Pidato Piala Diraja Peringkat Akhir tetapi uniknya kali ini dibuat di hadapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan di tempat persemayaman Agong sendiri,” katanya kepada Bernama.
Zainudin, yang juga anggota jawatankuasa pengelola pertandingan, berkata bukan sahaja peserta, malah pelajar yang menghadiri pertandingan itu turut berasa teruja dan bangga kerana dapat berada dalam satu majlis bersama-sama Seri Paduka.
“Ia dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa pelajar dan murid sekolah supaya mereka terus berpegang pada prinsip (kedua daripada lima prinsip) Rukunegara iaitu hormat dan setia kepada raja kerana ia adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan bertatasusila dan menghormati Raja,” katanya.
Enam peserta bagi kategori sekolah menengah dan rendah menyertai pertandingan tersebut. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Sufa’at Tumin.
Juara pidato kategori sekolah menengah dimenangi Naim Suhail Nizar, 16, dari Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah yang menerima piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan wang tunai RM1,000. Naib Johan Nor Amirah Ramli dari SMK Raja Chulan, Ipoh, Perak dan ketiga Nur Zafirah Haifa Mohamad Zakaria dari SMK Putrajaya Presint 9 (1), Putrajaya.
Dan sudah tentu yang menjadi kebanggaan PERMATA Insan, juara kategori sekolah rendah, adik Ahmad Faiz Yazid, 11, yang juga merupakan pelajar SK Dato’ Hashim (2), Kota Baharu, Kelantan yang membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan wang tunai RM800.
Pemenang tempat kedua Nathasa Syahirah Khalid Peter dari SK Abang Leman, Betong, Sarawak dan ketiga Ummi Khalilah Azman dari SK Bukit Anak Dara, Kemaman, Terengganu.
Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.Para peserta dan tetamu juga berpeluang menyertai jamuan santapan tengah hari bersama Seri Paduka berdua selepas majlis itu. — Bernama
********************************************************************************************
PANDANGANKU:
Nampaknya ramai anak2 dari Pantai Timur bijak2 belaka sebab banyak makan ikan kot? Pe pun....Tahniah kepada anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan