21 April 2014

PULAU NANGKA

Pulau Nangka: Kenapa sekarang?

  • pulau nangkaLaporan muka depan Sinar Harian, semalam.
 1 / 1 
SEJAK kebelakangan ini, nama Pulau Nangka semakin menonjol. Siapa sangka, pulau yang dinamakan sedemikian kerana berbentuk seperti buah nangka itu, menyimpan rahsia besar sejak bertahun lamanya.

Sebuah pulau kecil tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar, terletak kira-kira 17 kilometer dari pantai dan 4 kilometer dari pulau utama iaitu Pulau Besar, menyimpan peninggalan sejarah berharga yang belum terungkai sehingga kini.

Paling mengejutkan, harta karun dianggarkan bernilai berbilion-bilion ringgit masih tertanam di pulau berkenaan.

Pulau Nangka yang diwartakan menjadi milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) pada 1997 dikelilingi tidak kurang 10 pulau-pulau lain termasuk dua daripadanya dihuni manusia, sebelum ini pernah mendapat perhatian seketika.

Masih ingatkah peristiwa Disember lalu apabila 11 pelatih Kursus Asas Komando dan dua jurulatih dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) hampir maut selepas bot dinaiki terbalik dan hanyut selama 28 jam ketika mereka menjalani latihan mendayung ke pulau itu?.

Bagaimanapun, pendedahan media minggu lalu lebih menarik perhatian daripada kisah di atas, apabila Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan melantik sebuah syarikat untuk mengkaji dan mengeluarkan harta karun dipercayai berada di pulau berkenaan.

Pendedahan itu bukan daripada sumber bukan-bukan, sebaliknya keluar dari mulut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sendiri yang dengan penuh yakin Pulau Nangka menyimpan banyak harta berharga.

Malam kelmarin, ketika menghadiri majlis makan malam sebuah majlis di kediamannya di Seri Bendahara, Melaka, Idris mengakui usaha mencari harta karun tersebut sebenarnya sudah bermula sejak kira-kira 30 tahun lalu secara senyap.

Ini bermakna, pencarian sudah dilakukan sekitar 80an lagi dan ketika itu ketua menterinya bukan Idris.

Hanya selepas bertukar lima ketua menteri, akhirnya ketika Idris yang mengambil alih tampuk pemerintahan tahun lalu mengambil keputusan mendedahkan kepada umum mengenai penemuan itu.

Idris mengakui, memang selama ini kerajaan negeri merahsiakan penemuan artifak yang mempunyai tidak kurang 20 bilik dan tersimpannya harta karun itu pada pengetahuan umum, khususnya rakyat Melaka.

Menurutnya, sebelum mendedahkan umum, beliau terlebih dulu mahu memastikan dakwaan berhubung penemuan artifak dan harta karun itu adalah sahih, bukan sekadar cerita dongeng.

Sehinggalah satu bukti ditunjukkan seorang individu kepadanya yang meyakinkan beliau berhubung harta karun terbabit.
"Emas yang ada di situ bukan berbentuk jongkong, tetapi berbentuk seperti timun. Sebelum ini, ada individu yang sudah berjaya menembusi tempat itu. Tapi, apabila mereka pegang emas untuk bawa keluar, kaki mereka tidak boleh melangkah. Apabila diletakkan kembali emas itu, barulah mereka boleh melangkah semula," kata Idris.

Beliau berkata, misi mengeluarkan harta berkenaan bukan satu tugas yang mudah kerana harta karun itu ada 'penjaganya'.

Bagaimanapun, katanya, usaha dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan rakyat mungkin menyebabkan harta karun itu sukar dibawa keluar, lantas akhirnya Idris merasakan adalah lebih baik diwar-warkan kepada umum.

"Dulu kita lakukan secara senyap-senyap, tapi nampaknya tidak berhasil. Kita rasakan sudah sampai masanya perkara ini disebarkan kepada umum. Mana tahu, mungkin dengan cara ini akan lebih mudahkan usaha pencarian," katanya di hadapan kira-kira 800 orang pada program berkenaan, malam kelmarin.

Dikuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin yang mendakwa Sultan Melaka dahulu mempunyai satu rumah khas menyimpan harta benda seperti pinggan mangkuk, cerek diperbuat daripada emas.

Beliau berkata, harta yang dimiliki hasil cukai pedagang luar negara itu kemungkinan disembunyikan di pulau berkenaan ketika Melaka diserang Portugis pada 1511 kerana ditakuti istana diserang dan ditawan.

Ternyata, apa dikatakan Idris bukanlah hanya satu angan-angan kosong dan kerana itu tidak ada apa lagi perlu disorokkan daripada pengetahuan orang ramai.

Bagaimanapun, Idris sebelum ini ada menyatakan bahawa beliau tidak menaruh harapan tinggi untuk membawa balik harta karun berkenaan yang kini dilakukan Syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mengumpul segala bukti.
Seandainya harta berkenaan ditemui, apakah akan dilakukan Kerajaan Negeri Melaka? Itulah soalan yang berlegar di fikiran sebahagian rakyat Melaka yang ditemui pada majlis sama.

Menurut Idris, sekiranya ditakdirkan harta berkenaan ditemui, itu bermakna ia rezeki dan nikmat kepada seluruh rakyat Melaka, namun tidak menyatakan secara terperinci faedah dimiliki hampir satu juta penduduk di negeri berkenaan.

"Ia boleh digunakan kerajaan negeri untuk membangunkan negeri selain ganjaran kepada kumpulan yang berusaha. Tapi kalau tiada, tak apalah," katanya.

Dengan erti kata lain, artifak ditemui akan membuka pintu hasil lain, terutama melebarkan sektor pelancongan, sekali gus menambah pendapatan negara yang akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan bukan saja pada prasarana, malah ekonomi.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan