09 April 2014

MRSM (SPM) TERBAIK 2013

MRSM TUN GHAFAR BABA ULANGI KEJAYAAN SPM TERBAIK 2013

Annuar Musa bersama pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara selepas sidang akhbar mengenai pencapaian MRSM dalam SPM di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHAMMAD NAQUIB ZUBIR (PELATIH IKBN PERETAK)


KUALA LUMPUR 20 Mac - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka mengulangi pencapaian tahun lalu apabila muncul yang terbaik daripada 48 MRSM di seluruh negara dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada jumlah 442 calon yang menduduki peperiksaan itu di MRSM tersebut, 228 pelajar mendapat gred A untuk semua mata pelajaran.

"Daripada 24 pelajar seluruh MRSM yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran, 13 daripadanya adalah calon MRSM Tun Ghafar Baba.
"Dengan itu, MRSM Tun Ghafar Baba sekali lagi mencatat keputusan terbaik untuk SPM 2013 dengan memperoleh Gred Purata Maktab (GPM) 1.1329 diikuti MRSM Taiping (1.1426) dan MRSM Pengkalan Chepa (1.1971)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai pencapaian MRSM dalam SPM 2013 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daripada jumlah 7,645 calon MRSM, 1,229 pelajar atau 16 peratus memperoleh gred A untuk kesemua mata pelajaran dengan GPM keseluruhan 2.019.

Katanya, lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Melayu dengan Gred Purata Subjek (GPS) 0.967, Sejarah (0.971), Fizik (3.15), Kimia (3.847) dan Pendidikan Seni Visual (0.72)

"Secara keseluruhan, pelajar-pelajar MRSM mencatat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2013 dan lebih membanggakan mereka juga cemerlang menguasai pelbagai lapangan kemahiran dan soft skills," ujarnya.

Seorang pelajar, Nursafiani Mahat, 18, dari MRSM Tun Ghafar Baba ketika ditemui dalam majlis itu berkata, beliau tidak mampu memperoleh keputusan cemerlang 10 A+ jika tiada sokongan daripada guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakan.

"Jika diberi peluang, saya bercadang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland atau United Kingdom (UK) seperti kakak-kakak saya," kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar dari MRSM sama, Ahmad Ayyash Aminuddin, 18, yang memperolehi 9 A+ untuk semua subjek berkata, beliau menjadikan amalan belajar pada awal pagi dan perbincangan berkumpulan sebagai persediaan menghadapi SPM.

"Sekarang saya sedang membuat A Level di Kolej Yayasan Saad, Melaka dan bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Fizik di Amerika Syarikat (AS) atau UK," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.



© Utusan Melayu (M) Bhd 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan