03 April 2014

JAUHI BUDAYA ROBIN HOOD

RobinHood
“Apabila seseorang melakukan amalan dengan hati yang ikhlas tetapi amalan itu tidak menepati syariat, ia ditolak (oleh Allah). Jika amalan itu menepati kehendak syariat tetapi tanpa keikhlasan, ia juga tertolak.” (Dalam al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, Dar as-Salam, jil. 1, hal. 219)
Robin Hood merupakan hero legenda yang hidup bersama rakan-rakannya dalam hutan Sherwood  diNottinghamshire, England. Mengikut kisah, beliau merupakan seorang perompak yang merompak harta orang-orang kaya bertujuan untuk membantu golongan miskin. Dalam erti kata yang lain, beliau adalah seorang PEROMPAK berhati mulia. (Wikipedia, Robin Hood, http://en.wikipedia.org/)
Pada hari ini budaya yang diamalkan oleh Robin Hood ini dikenali sebagai Machiavellianisme. Mengikut Academic Press Dictionary of Science and Technology, Machiavellianisme bermaksud “perangai yang cenderung untuk melakukan tipu daya dan putar belit demi mencapai cita-cita dan kehendak peribadi”. Ia diasaskan oleh seorang pemikir dari Florence, Itali yang bernama Niccolo Machiavelli.
Beliau hidup di zaman kebangkitan Barat atau Renaissance dan menjadi terkenal melalui bukunya The Princeyang ditulis pada tahun 1532. Buku itu secara dasarnya menekankan tentang kehalalan seseorang pemerintah menggunakan sebarang cara untuk mengekalkan kuasanya. Akhirnya Machiavellianisme menjadi satu sistem nilai yang dihayati oleh masyarakat berasaskan konsep ‘niat membersihkan cara’ ataupun the end justifies the means. Machiavellianisme amat bercanggah dengan Islam kerana Islam menekankan tentang kesucian NIAT DAN CARA serentak dalam setiap amalan.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 112 Allah berfirman, “Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping beliau bersikap muhsin baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan  berdukacita.”
Berhubung dengan ayat ini, dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Ayat ini menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah).”
Syariat boleh dikiaskan seperti rel kereta api. Tanpanya kereta api tidak akan sampai kepada destinasi. Allah telah mengurniakan kepada umat Islam landasan atau rel hidup yang kukuh. Landasan itu ialah al-Quran dan as-Sunnah dan ia merupakan dua pusaka penting yang ditinggalkan nabi kepada umat Islam. Daripada al-Quran dan as-Sunnah lahirlah peraturan hidup yang bernama syariat. Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan Sunahku.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan Ibn Abdul Barr dari Abdullah ibn Omar, dan diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Hurairah.
Oleh Dr. Danial Zainal Abidin



Tiada ulasan:

Catat Ulasan