PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan semua ajaran dan fahaman Syiah di Malaysia menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha menafikan jika terdapat dakwaan ada fahaman Syiah mempunyai persamaan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Jakim, dakyah Syiah sebagai mazhab berasaskan aliran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah atau Imam Dua Belas mula aktif di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979.

“Jadi ajaran Syiah yang diamalkan oleh pengikut di Malaysia sehingga kini adalah aliran Imam Dua Belas yang bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

Othman berkata antara penyelewengan aliran Syiah Imam Dua Belas itu adalah:

* Meyakini imam adalah maksum, iaitu terpelihara daripada sebarang dosa.
* Mengkafirkan para Sahabat Rasulullah SAW.
* Tidak ada solat Jumaat.
* Mengharuskan jamak solat fardu dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab.
* Menghalalkan nikah mutaah.
* Menolak ijmak ulama.
* Sanjungan keterlaluan kepada Saidina Ali sehingga disamatarafkan dengan Rasulullah SAW.
* Menambah nama Saidina Ali dalam kalimah syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW.

Dengan memberi contoh nikah mutaah, katanya, ia bukan satu pernikahan dalam Islam malah merupakan amalan jahiliah yang amat jelas bertentangan dengan ajaran al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Katanya, nikah mutaah diharamkan Nabi Muhammad SAW sehingga kiamat menerusi hadis-hadis sahih dan seorang daripada perawi hadis itu ialah Saidina Ali sendiri.

“Ini menunjukkan dengan jelas ajaran mahupun fahaman Syiah ini bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak, seperti digariskan dalamundang-undang Islam,” katanya.

Beliau berkata, merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2 dan 3 Mei 1996, adalah dipersetujui bahawa memperakukan ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam, dan dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

“Pada 24 Julai lepas, KDN pun mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

“Sekiranya melanggar fatwa akan dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Jenayah Syariah Negeri, malah aspek keselamatan negara pun turut diambil kira pihak oleh KDN yang mana pertubuhan Syiah ini tidak boleh bergerak aktif dalam negara ini kerana salah daripada sudut undang-undang,” katanya.  

Othman berkata, pengaruh ajaran mahupun fahaman kumpulan Imam Dua Belas itu menular ke negara ini menerusi bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pensyarah universiti tempatan memainkan peranan menyebarkan fahaman itu secara serius kepada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, daripada segi ideologi juga, umat Islam negara ini mungkin nak jalan yang mudah dalam agama dan tertarik dengan tawaran serta ganjaran yang ditawarkan Syiah.

“Faktor-faktor menarik masyarakat Islam ialah dengan tawaran beberapa kemudahan seperti solat Jumaat tidak ada, boleh solat tiga waktu sahaja dan nikah mutaah; boleh kahwin dengan isteri orang, mahar terlalu remeh. (Mahar) dengan selipar pun ada. Mereka hendak ambil mudah dalam soal beragama,” katanya.

Othman berkata, hasil dapatan Jakim menerusi sumber risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati setakat ini pengikut Syiah yang terdiri daripada rakyat Malaysia ialah kira-kira 2,000 orang.

"Bukan seperti yang digembar-gemburkan sehingga 250,000 orang,” katanya.

Othman menegaskan jumlah besar yang sengaja digembar-gemburkan itu adalah permainan pengikut Syiah yang mahu menunjukkan mereka ramai dan kuat serta kukuh bertapak di Malaysia.

Beliau berkata, bilangan yang pernah dimaklumkan sebelum ini mencecah ratusan ribu itu adalah mengambil kira pelancong Iran dan pelajar luar negara yang belajar di Malaysia.

“Justeru, saya ingin mengingatkan pihak media dan masyarakat Malaysia supaya jangan mudah melatah dengan angka berkenaan. Daripada segi jumlah pengikut Syiah ini, pihak Jakim masih lagi berterusan menjalankan kajian bersama-sama pihak berkuasa keselamatan.

“Mereka dilihat ramai dalam aktiviti mereka contohnya apabila berkumpul dari seluruh negara dalam menjayakan aktiviti pengajian mereka sehingga menjadikan jumlah mereka mencecah 500 orang,” katanya.

Bagaimanapun, Othman berkata penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam di Malaysia membimbangkan namun masih terkawal.

“Sebab itu kita minta agensi berkaitan mengambil berat daripada segi penyebaran Syiah ini," katanya.

Selain usaha yang dilakukan Jakim untuk membanteras Syiah, Othman berkata peranan individu menolak fahaman itu juga penting iaitu umat Islam di negara ini perlu berhati-hati dengan pengaruh fahaman Syiah yang boleh menghancurkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya menyeru umat Islam di Malaysia agar menolak ajaran selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah ini, termasuklah menolak Syiah, Bahai, Qadiani dan ajaran sesat lain khususnya yang telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Fatwa,” katanya.

Di samping itu, katanya, pada masa sama semua pihak juga perlu bijak memilih badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak terjebak dengan NGO yang berorientasikan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dan kebebasan beragama.

Othman juga meminta umat Islam negara ini menolak pemimpin dalam sesebuah organisasi yang berfahaman Syiah atau fahaman lain yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.“Pihak kerajaan juga menyedari adanya pengaruh fahaman Syiah di kalangan  masyarakat, pemimpin parti-parti politik, NGO sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Mengenai jenis-jenis ajaran Syiah yang ada di negara ini, beliau berkata di Malaysia hanya terdapat dua jenis Syiah, iaitu Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra) dan Syiah Ismailiyah Agha Khan yang dibawa masuk oleh pendatang India pada satu masa dahulu.

Bagaimanapun, Othman berkata pengikut kedua-dua jenis Syiah yang merupakan kelompok asal Syiah di negara ini didapati tidak menjalankan dakyah kepada masyarakat Sunnah Wal Jamaah sebaliknya berkembang dalam kalangan generasi baru mereka sendiri sahaja.

“Syiah Dawood Bohra dikenali sebagai golongan yang memiliki Kedai Bombay, manakala Syiah Agha Khan dikenali dengan pemilik Kedai Peerbhai. Pengikut jenis Syiah ini bergerak di sekitar Lembah Klang sehingga kini.
“Pengikut dua jenis Syiah ini merupakan keturunan asal Syiah yang ada di negara ini. Mereka tidak ekstrem dan tidak berlawan dengan Sunnah Wal Jamaah.

Mereka menjalankan dakyah dan berkembang dalam kalangan anak-beranak mereka sahaja kerana mereka kahwin pun sesama sendiri, ada kubur dan masjid sendiri,” katanya. - Bernama