21 April 2014

BAPA PRIHATIN

Ayah sanggup belajar, bantu anak ulang kaji
MOHD ZAILANI ABDUL RAHM AN
28 Mac 2014

  • Ayah sanggup belajar, bantu anak ulang kajiZul Azree (kanan) berkongsi kejayaannya dalam peperiksaan SPM bersama bapanya.
 1 / 1 
KOTA BHARU - Tidur satu jam sehari berbaloi buat Zul Azree Dr Zulkepli apabila dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong berikutan kejayaannya memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Kejayaan tersebut sememangnya amat bermakna buat Zul Azree kerana dia adalah pelajar tunggal di sekolah tersebut memperoleh keputusan 10A.

Zul Azree, anak pemilik firma akauntan, Datuk Dr Zulkepli Mohamed (Zul Wisma) berkata, setiap hari selepas waktu persekolahan kira-kira jam 4 petang hingga Maghrib, dia mengulang kaji pelajaran di pejabat bapanya secara bersama-sama dan kemudian menyambungnya di rumah sehingga awal pagi.

“Selepas selesai ulang kaji pelajaran dengan papa, saya sepatutnya tidur kerana keesokannya saya akan ke sekolah tetapi demi cita-cita saya dan semangat mahu mendapatkan keputusan cemerlang, saya belajar secara curi-curi.

“Saya hanya tidur satu jam sahaja sehari dan pada masa sama, saya tidak pernah berputus asa berdoa kepada ALLAH SWT meminta keberkatan-Nya supaya mempermudah usaha saya ini serta memberikan kejayaan untuk membalas jasa ibu bapa saya dan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Zul Azree berkata, di sebalik kejayaan tersebut, sebenarnya ia amat bermakna buat bapanya kerana bukan sahaja dia yang bersungguh-sungguh mengulang kaji, malah bapanya juga turut mempersiapkan dirinya dengan setiap mata pelajaran dipelajarinya di sekolah.

“Papa akan ajar saya satu persatu setiap mata pelajaran yang saya ambil.

"Walaupun saya sukar memahaminya, papa tidak mudah melenting tetapi akan memberi tunjuk ajar sehingga saya boleh menjawab soalan latihan diberikan sebagai persediaan untuk peperiksaan,” katanya yang mahu mengikut jejak langkah bapanya untuk menjadi akauntan.

Perkara itu diakui oleh Zulkepli yang memberitahu sejak 2010, dia turut belajar dengan seorang guru, Nordin Hassan bagi membantu anaknya mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, dua jam sehari diperuntukkan untuk belajar dengan Nordin bagi mata pelajaran yang agak sukar difahaminya supaya selepas itu dia dapat mengajar anaknya semula semasa mengulang kaji.

“Selain berkat doa, kami semua keluarga sentiasa solat hajat dan baca al-Quran secara berjemaah. Saya juga mengambil inisiatif untuk belajar dan kemudiannya mengajar anak-anak,” katanya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan