Menurut Dr Hjh Masni Mohamad, pakar perubatan Endokrinologi, Hospital Putrajaya bahwa pancreas berkurang fungsinya sebanyak 4% setiap tahun. Jika tidak ada usaha memulihkan fungsi pancreas, maka kita dapat meramalkan pancreas akan hilang fungsi sepenuhnya dalam masa 25 tahun bermula daripada tahun kita mengesan kelemahan pancreas tersebut.
Pancreas ialah organ penting dalam badan manusia bagi menghasilkan insulin, sejenis hormone yang membantu proses menukar gula menjadi tenaga. Melalui insulin setiap sel dalam badan dapat menerima tenaga yang diperlukan oleh organ untuk melaksanakan fungsinya.
Kita boleh andaikan proses mengirim insulin ke organ organ dengan kaedah menghantar serahan mesej singkat (SMS). Andaikan 20 SMS dihantar ke organ organ untuk membekal insulin tetapi hanya 15 organ sahaja yang menjawab atau respon dan 5 organ lagi tidak menjawab. Organ yang tidak menjawab SMS tersebut adalah organ yang tidak berfungsi. Organ yang tidak berfungsi akan menjadi masalah kepada kita.
Bagaimanakah kita mengaktifkan 5 organ yang tidak berfungsi itu? Cara terbaik menurut pandangan doctor ialah dengan bersenam. Supaya kesihatan kita berada dalam kondisi optimal, kita wajib bersenam kerana melalui badan yang sehat ibadah kita kepada Allah akan semakin mantap.
Melalui senaman kita mengaktifkan organ organ dalam badan kita untuk menerima tenaga yang dibekalkan sesudah insulin berjaya mengaktifkan sel dan membiarkan sel sel menyerap gula dan menjadikannya tenaga untuk pergerakan badan.
Mengawal kadar gula dalam badan merupakan tugas setiap manusia, sebab bila paras gula terlalu tinggi kerana beberapa organ dalam badan sudah mula rosak kita akan menghadapi hiperglisemia dan boleh membawa kematian. Sebaliknya jika paras gula dalam badan terlalu rendah dan badan kehilangan tenaga untuk bergerak, maka kita akan menghadapi keadaan hipoglisemia dan boleh juga membawa kematian. Jadi, kawalan gula dalam darah yang stabil sangatlah penting agar kedua-dua fenomena di atas tidak berlaku.
Kadar gula dalam darah yang normal berada antara 4.4 hingga 6.1 mmol. Sesiapa yang mempunyai kadar gula dalam darah di bawah atau di atas daripada kadar normal akan menghadapi dua kes yang disebut dalam perenggan di atas, iaitu hipoglisemia (kurang gula) atau hiperglisemia (lebih gula).
Bagi mereka yang mempunyai fenomena kencing manis sebaiknya mempunyai alat pengukur
kadar darah agar kita boleh mengetahui pada bila-bila masa kadar gula dalam darah, dengan mengetahui kadar gula dalam darah kita boleh mengambil tindakan segera mengatasi masalah.
Jika kekurangan gula segeralah kita menambah kadar gula dengan mengambil makanan manis atau gula-gula. Jika kelebihan kadar gula bolehlah diatasi dengan cara cara yang dicadangkan oleh doctor seperti bersenam dan sebagainya.
Bagaimanakah kita mengesan fenomena kencing manis. Apakah fenomena itu sudah melanda kita? Cara terbaik ialah meminta doctor di mana mana klinik mengadakan ujian glukosa. Doktor akan meminta anda meminum larutan gula yang sangat manis sehingga terasa pahit. Satu jam kemudian doctor akan mengambil bacaan kadar gula dalam darah anda. Selepas itu anda diminta datang lagi satu jam kemudian, bacaan kedua akan diambil pula. Doktor akan memberi keputusannya kepada anda sama ada anda sudah diserang fenomena kencing manis.
Lebih baik kita tahu lebih awal apakah fenomena itu sudah melanda kita kerana dengan itu kita boleh membuat persiapan menghadapinya. Jangan sekali kali mengatakan bahwa fenomena itu tidak ada sebelum kita membuat ujian glukosa.
Pada masa ini saya beranggapan bersenam itu wajib bagi mendapat kesihatan yang terbaik dan dengan kesihatan yang terbaik kita boleh berfungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan peranan yang terbaik juga. Hanya pada badan yang sehat, minda kita akan cergas. Apabila minda cergas, kerja kerja dakwah dan kehidupan harian dapat dijalankan dengan sempurna.
Apabila rasa malas mengintai untuk melemahkan semangat kita untuk bersenam, maka ingatlah dalam minda kita bahwa harga kesihatan jauh lebih mahal daripada wang yang kita ada. Lebih baik kita bersikap proaktif dengan bersenam bagi menghindarkan penyakit daripada bersusah payah kemudian untuk mengobati penyakit. Sediakan payung sebelum hujan. Itu pepatah orang Melayu yang semua orang tahu dan sebenarnya orang Melayu ialah orang yang proaktif. Kenapa tidak kita semarakkan sikap baik kita itu buat selama lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan